Showing posts with label Kematian. Show all posts
Showing posts with label Kematian. Show all posts

Wednesday, 25 May 2016

Mati Oh! Mati

Cerita dramaku yang tinggal persoalan?

“Iee… kenapa dia mati macam tu? Dia kan baik… kesiannya.”

Mulalah hati aku rasa sedih. Tanpa sedar boleh mengalir air mata. Kalau aku tonton ramai-ramai, mungkin boleh kawal lagi rasa sedih sebab tak mahu di ejek. Hehe… fitrah wanita yang mudah tersentuh. Bila jumpa kawan yang kaki drama, bersambunglah cerita kesedihan, ketidakpuasan hati dengan bentuk kematian pelakon itu.

“Padan muka! Akhirnya kena tembak. Jahat lagi.”

Tapi, bila bahagian penjahat yang kena hukuman. Hati dan perasaan aku rasa puas gila. Bila berkumpulan, boleh riuh flash back drama punya pasal. Meskipun penjahat tersebut mati dalam mengaibkan terasa seronok. Walhal hakikat kejadian semua tahu itu hanyalah rekaan semata-mata. Tapi lihatlah bagaimana pengaruh cerita dalam hidup kita.

Awak semua pernah tak terfikir bagaimana kematian yang diinginkan? Mati berkeadaan baik atau mati berkeadaan buruk? Sebab aku terfikir tentang punca atau asbab kematian. Jika di beri pilihan di bawah, kematian mana yang menjadi pilihan:

1.      Mati berkeadaan baik seperti tersenyum, muka nampak bercahaya dan boleh mengucap kalimah Laillahaillallah.

2.      Mati berkeadaan buruk seperti kena bunuh, rogol dan bunuh, kena bom. Pendek cerita mati yang nampak ngeri di mata manusia.

Ok! Kita tutup cerita kematian dalam drama. Makanya hidup jangan drama sangat. Tempuhilah kehidupan yang realiti terbentang di hadapan mata. Tonton drama kita ambil pengajaran yang hendak disampaikan sahaja. Buruk dan baik kita jadikan sempadan.

Semua orang tahu. Mati itu bila denyut nadi tidak berdenyut lagi. Erti kata sebenar keluarnya roh dari jasad manusia. Bila dah mati, memang kena kebumikan ikut kepercayaan masing-masing. Orang Islam pasti di tanam dalam tanah. Kemudian ada batu nisan tertera si polan binti si polan. Yang masih hidup, kehidupan mesti diteruskan. Aku yang jahil ada kemusyikilan tentang erti kematian dan punca kematian. Sebab kalau boleh mana ada manusia yang ingin mati di bunuh, di rogol, kena bom, pendek cerita mati yang nampak ngeri di pandangan manusia. Lalu ku tanya guruku dan abadikan dalam penulisanku.

Tujuannya agar aku lebih memahami hakikat kematian yang sebenarnya. Biarpun kematian itu buruk pada kaca mata manusia, tetapi dalam penilaian Allah itu sempurna. Mati yang nampak terindah di mata manusia, belum tentu kematian itu sempurna dalam nilaian Allah SWT. Ringkasan kefahaman aku tentang bicara sang guru kematian dalam pandangan Allah terbahagi dua.

1.      Mati buruk bagi Allah ialah mati yang membawa perkara mungkar, syirik. Mati yang di dalam hati banyak sifat-sifat mazmumah atau sifat yang Allah benci lagi murkai.Mati dengan hati yang masih penuh cinta dunia. Mati dalam kekufuran. Mati dalam perbuatan yang Allah larang. Mati ini tempatnya adalah Neraka.

2.      Mati baik bagi Allah ialah mati yang hati hambaNya mencintai redha Allah. Meskipun bentuk kematian itu nampak ngeri di mata manusia, semuanya bergantung kepada amalan mereka sewaktu hidup yang boleh di bawa ke Syurga.

“Ya Allah! Betapa selama ini aku jahil dalam mentafsirkan kematian yang sebenar. Sungguh aku mudah terpedaya dengan drama ciptaan manusia. Begitu mudah aku terpedaya dengan fatamorgana duniawi. Hingga aku terlupa hakikat aku hidup di dunia. Sungguhku takut andai kematian menjemput aku kala ini. Terlalu banyak dosa aku lakukan. Terlalu banyak benda aku lupakan. Maka kau ampunilah aku Ya Allah! Berkatilah dan redhailah sisa-sisa waktu perjalanan kehidupanku atas muka bumi Mu. Aamin.”

Drama itu di lakonkan oleh manusia dengan watak ciptaan manusia. Semestinya yang menontonnya adalah manusia termasuk aku. Aku yang memang mudah lupa. Aku tahu setiap perbuatanku tidak sedikitpun terlepas dari catitan Malaikat Raqib dan Atib. Aku juga sedar Malaikat Izrail pencabut nyawaku sedang mengintai kematian ku pada bila-bila masa. Tiba waktunya Malaikat Izrail akan mencabut nyawaku. Maka berakhirlah catitan amalanku oleh Malaikat Raqib dan Atib.


Aku umpama tersedar dari lamunan mimpi yang panjang. Ku cuba susun kembali pengurusan hidupku. Aku perlu seimbangi keperluan dunia dan akhiratku. Ku cuba tinggalkan sedikit sebanyak hobi ku yang sia-sia. Aku mula memahami erti aku terdampar ke dunia. Aku mula mencari jawapan dari dalam diriku sendiri. Bentuk kematian yang bagaimanakah aku inginkan? Jika aku benar-benar inginkan kematian yang Allah redhai, aku harus perbaiki tujuan hidupku. Aku kena pasakkan keyakinan hidupku dengan bertuhankan Dia. Aku sedar banyak bisikan-bisikan nafsu yang terhasil dari bisikan syaitan. Aku kena belajar untuk ikhlaskan diri dan lakukan hanya kerana Dia. Semoga aku dapat Istiqomah di setiap amal perbuatanku sehingga ke saat Malaikat Izrail mencabut nyawaku. Saat itu selamat tinggal dunia. Selamat tinggal orang-orang kesayanganku. Semoga kita bertemu kembali di Syurga sana. Doakan kematianku ini adalah kematian yang Husnul Khatimah dan berada di sisi orang-orang yang beriman lagi bertaqwa.



(Surah Al-Mu'minun ayat 99-100)
(Surah Al-Anbiya' ayat 35)
                                                                                                                                (Nukilan Ahli Kubur)

Tuesday, 24 May 2016

Kenapa Ku Pilih Nama "Ahli Kubur"


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ
“Dengan menyebut nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang”

Dengan lafaz keagungan kalimah Bismillah, aku mula menulis bait-bait kata semoga memberi manfaat kepada manusia lain di luar sana. Selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah SAW, ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda.


 اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ


سُبْحَانَ اللّهِ  - والْحَمْدُللّهِ -  وَ لا اِلهَ اِلَّا اللّهُ  - وَ اللّهُ اَكْبَرُ


Terkejut lagi tertanya-tanya kenapa dalam banyak-banyak aku memilih pengenalan diri sebagai "AHLI KUBUR"?


Ku ringkaskan begini. Satu hari aku telah menukarkan status nama Telegram ku kepada "AHLI KUBUR". Sepatutnya aku kena tulis "BAKAL AHLI KUBUR-Sebab BELUM ARWAH" "AHLI KUBUR- GELARAN ORANG DAH MENINGGAL DUNIA" Kebetulan suamiku juga berada dalam group telegram yang sama. Suamiku ingin melihat wajah "AHLI KUBUR". 


Tiba-tiba..... krik...krik..krik.. 

Suamiku tak jumpa pun ahli baru dalam group tu. Kiranya kecewalah. Adatlah kita ini. Bila ada nama pelik atau nama best  yang join group whatsapp atau telegram, mesti kita teringin nak tau siapakah orangnya. Dia pelik di senarai group telegram "Ahli Kubur join the group" dalam Group "Mylovelywife join the group". Apa lagi ketawalah kami berdua hingga berair mata. Alhamdulillah bahagia yang Allah kirimkan hanya dari kata "Ahli Kubur".

Dah nama "Ahli Kubur" semestinya aku ingin rahsiakan siapakah aku yang sebenarnya. Apatah lagi wajahku. Maka dari situlah aku yang baru terdetik untuk berjinak-jinak dalam dunia penulisan apabila mendapat ILHAM.


Berbalik kepada tajuk asal. Kenapa ku pilih ahli kubur?


1. Aku rasa unik dan supaya aku beringat aku akan mati, aku pasti menjadi ahli kubur. Sekarang aku adalah BAKAL SI AHLI KUBUR


2. Aku dan kamu semua sama sahaja. Pasti menjadi ahli kubur. Nak tak nak, kematian itu memang pasti. Masanya dalam rahsia Allah S.W.T


3. Aku ingin menulis sesuatu yang aku rasa terjadi dalam ruangan kehidupan aku. Soalan-soalan yang bermain-main di otak dan hati aku. Dicampuri sifat "biawak-biawak" yang ada dalam diri aku. Semua orang ada sifat "biawak". Kenapa biawak? Sebab aku dengar dari cikgu-cikgu business aku, dari motivator DAO. Suka guna perkataan "biawak" jadi aku pun sukalah. "Biawak" itu sebenarnya sifat yang tergolong tentang negatif. Contohnya belum ambil tindakan dah bagi alasan. Sifat yang boleh buat kita rasa down memanjang. Jadi kalau anda rasa lemah makna kata dalam diri anda ada biawak. Lagi banyak alasan, lagi banyak biawak dalam badan. Jadi bagaimana nak hapuskan biawak dalam diri, kena jemputlah sikap harimau yang semua tahu harimau ini tergolong dalam haiwan yang kuat, berani sifat yang mencerminkan harimau sifat positif.


4. Aku ingin penulisan aku sedikit sebanyak membuat orang terfikir, "ooo... aku pernah rasa macam ni... macam tu..."pendek kata, sesuatu yang kita tanya diri kita dan jawapan pun ada dalam diri kita. Tapi bukan nak kata diri kita bagus. Cuma bila kita kaitkan monolog diri atau persoalan yang bermain di minda dengan apa yang terjadi sekeliling kita. Tak kiralah dari cerita orang berilmu, cerita tv atau mana-mana sahaja.


5. Bila aku renung masa lalu, aku pernah lah asyik bertanya sahaja mengapa begitu dan begini. Tanpa sedar di penghujungnya aku terfikir terjawab @ selesai juga masalah aku. Dalam tidak sedar Allah dah jawab pertanyaan aku. Cuma aku sahaja tidak SEDAR.

5. Banyak lagi aku nak tulis. Cukuplah setakat ini "Kenapa Ku Pilih Ahli Kubur". 


Semoga perkongsian aku yang seterusnya memberi manfaat buat aku dan semua orang yang membaca. Doakan aku agar sentiasa dikurniakan ilham dari Allah untuk aku menulis. Jika ada kesilapan semuanya dari aku. Ku mohon tegurlah aku yang kekurangan ILMU. 














Sekian, terima kasih.  



Al- Fatihan buat seluruh umat Muhammad SAW sama ada yang masih hidup atau pun telah meninggal dunia.




(Nukilan Ahli Kubur)